
Artikel
Tirai Perhimpunan Agung Interpol Ke 92 Berlabuh Hari Ini Kpn Zahirkan Penghargaan Kerjasama Kepada Malaysia
Dengan kejayaan mengumpulkan hampir 1,000 delegasi daripada 179 negara dari seluruh dunia, perhimpunan agung pada tahun ini telah menghasilkan pelbagai dasar k...
Glasgow, 7 November 2024 - Seusai empat hari bersidang di Scottish Event Campus, Perhimpunan Agung International Criminal Police Organization (INTERPOL) Kali Ke-92 melabuhkan tirainya hari ini yang disempurnakan oleh Presiden INTERPOL, Major General Ahmed Naser Al-Raisi.
Lebih 20 pembahas telah membawa pelbagai usul berkaitan isu jenayah di dunia untuk dibincangkan, dengan disusuli lebih lima forum keselamatan global diadakan sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung, yang disampaikan oleh wakil-wakil negara anggota INTERPOL.
Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak ketinggalan mengambil bahagian lebih aktif dan berkesan pada tahun ini dengan memperluas serta meningkatkan lagi hubungan bilateralnya dengan negara-negara sahabat di peringkat antarabangsa.
Selama perhimpunan berlangsung, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin telah mengadakan lapan pertemuan dua hala bersama ketua-ketua badan keselamatan dari seluruh dunia untuk meluaskan lagi jalinan kerjasama dalam bidang keselamatan dan kepolisan.
Beliau turut menzahirkan komitmen PDRM untuk terus bekerjasama erat dengan badan induk keselamatan dunia itu, di samping menghargai peranan negara-negara anggota dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam penduduk dunia terjamin.
Sebagai rekod, Perhimpunan Agung INTERPOL Kali Ke-93 nanti bakal dianjurkan di Marrakech, Maghribi pada tahun hadapan. Maghribi dilihat komited untuk mengukuhkan usaha antarabangsa dalam memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan.
Yang hadir sama sebagai delegasi Malaysia selama empat hari itu ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Roze Shaari, Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy dan Penolong Pengarah NCB INTERPOL, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintenden Saravanan Kanniappan.























