
Timbang Cadangan Mansuh Perintah Berkurung Di Esszone
Lahad Datu, 16 Januari 2020 - Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mempertimbangkan cadangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memansuhkan pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kata Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador hari ini.
Katanya, perkara itu telah disuarakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan percaya Ketua Menteri sedang mendapatkan input lain, sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Keputusan ini hanya boleh dibuat menerusi satu mesyuarat khas yang mungkin akan digerakkan oleh Ketua Menteri.
"Kita berharap cadangan ini akan disambut baik dan mendapat kelulusan serta diterima baik masyarakat di Esszone," katanya kepada pemberita selepas melawat Esscom, di sini.
Tan Sri Abdul Hamid berkata, Esscom juga mencadangkan agar perintah berkurung dikekalkan di empat kawasan panas yang telah dikenal pasti dalam Esszone bagi memelihara biologi marin dan keselamatan kawasan sekitar.
Menurutnya, empat kawasan itu ialah Pulau Ligitan di Tawau, Pegasus Reef (Kinabatangan), Alice Reef (Kunak) dan Geem Reef (Lahad Datu).
Artikel penuh di https://www.sinarharian.com.my/…/Timbang-cadangan-mansuh-pe…