
Artikel
Timbalan Kpn Uji Nilai Senjata Api Fn Herstal Di Ulu Kinta
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menghadiri sesi uji nilai pelbagai model senjata api keluaran syarikat...
Ipoh, 12 Julai 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menghadiri sesi uji nilai pelbagai model senjata api keluaran syarikat FN Herstal yang diadakan di Lapang Sasar Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, di sini.
Program anjuran Cawangan Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman ini dimulakan dengan taklimat ringkas oleh wakil syarikat pembekal peralatan taktikal, Arena Mission Sdn. Bhd., sebelum demonstrasi dan sesi tembakan dijalankan.
Antara senjata api yang diuji nilai termasuklah Designated Marksman Rifle (DMR) 7.62mm, FN Minimi 7.62 MK3 Tactical Machine Gun, Ultralight Machine Gun FN Evolys 7.62, serta beberapa pistol taktikal seperti FN Hiper MRD, CZ P10C, CZ P10F, CZ P10M Micro dan CZ Shadow 2 Compact.
Sesi uji nilai ini bertujuan untuk menilai aspek kecekapan, ergonomik dan kesesuaian senjata bagi keperluan operasi pasukan di lapangan bagi memperkasakan aset serta peralatan persenjataan Polis Diraja Malaysia.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Persenjataan, JLog Bukit Aman, SAC Zaidy Che Hassan dan Penolong Pengarah Persenjataan (Operasi/Teknikal/Aset Ordnans), JLog Bukit Aman, ACP Hammizamri Abdullah.