
Artikel
Timbalan Kpn Tinjau Operasi Nsrc Perkukuh Usaha Banteras Penipuan Kewangan
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Resp...
Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini bagi meninjau operasi pusat tersebut dalam memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa.
Dalam sesi tersebut, Tan Sri Ayob Khan telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan BNM, Encik Mohd Fuad Arshad mengenai peranan, struktur dan mekanisme penyelarasan aduan yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan.
Taklimat tersebut juga menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan, risikan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tersusun serta berkesan.
NSRC kini secara rasmi diterajui oleh PDRM, satu langkah penting yang mengukuhkan peranan pasukan polis dalam meningkatkan koordinasi, keupayaan risikan dan tindak balas pantas demi melindungi keselamatan kewangan rakyat.
Jurugambar: PDRM RMP TV