
Artikel
Timbalan Kpn Teruskan Lawatan Kerja Ke Negeri Sembilan Serah 25 Kenderaan Baharu Bagi Memperkasakan Lagi Tugas Pdrm
Seremban, 15 November 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, meneruskan lawatan kerjanya ke Kontinjen Negeri Sembi...
Seremban, 15 November 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, meneruskan lawatan kerjanya ke Kontinjen Negeri Sembilan hari ini dengan menyerahkan sebanyak 25 unit kenderaan baharu bagi tujuan memperkasakan lagi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebuah majlis di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau pada jam 9.30 pagi itu telah disambut dengan barisan Kawalan Kehormatan sambil diiringi Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato’ Mohamad Mat Yusop dan timbalannya, SAC Dato’ Che Zakaria Othman.
Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Hj. Mazlan berbesar hati menyempurnakan “flag off” pelepasan kenderaan tersebut sebagai simbolik penyerahan 16 buah Toyota Hilux GS Cargo dan sembilan buah Van Go Auto Higer Ace kepada Kontinjen Negeri Sembilan.
Datuk Seri Hj. Mazlan dalam ucapannya berharap dengan penambahan kenderaan baharu ini, ianya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan warga Kontinjen Negeri Sembilan dan melancarkan penugasan khususnya dalam aspek pencegahan jenayah serta pemantauan kepada pematuhan masyarakat menerusi penugasan Op COVID-19.
Kehadiran beliau bersama isteri yang juga merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Datin Seri Anizah Musa turut berpeluang menyantuni dan menyampaikan sumbangan berupa bekalan keperluan asas serta sejumlah wang tunai dari Tabung Wakalah Zakat PDRM Bukit Aman untuk diserahkan kepada 40 orang asnaf yang terdiri daripada warga PDRM, pesara Polis, anak yatim dan mualaf.
Beliau turut melakukan lawatan kebajikan ke atas seorang pesara Polis, Sarjan Mohd Albakri Mohd Harun yang menghidap penyakit strok sejak dua tahun lalu, di Taman Jasper Jaya, Seremban. Datuk Seri Hj. Mazlan turut tidak melepaskan peluang menziarahi anak-anak yatim PDRM iaitu adik Muhammad Darwish dan Muhammad Harith Amsyar yang telah kehilangan ayah mereka, Allahyarham Lans Koperal Mohd Faizal Buyung yang meninggal dunia akibat kanser limfoma, sejak tahun 2016 dan kini menetap bersama ibunya di Taman Tasik Jaya.
Seusai lawatan dijalankan, beliau kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk mendengar taklimat mengenai keadaan semasa dan situasi COVID-19 di Negeri Sembilan yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Mohamad.
Selain itu, Datuk Seri Hj. Mazlan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada para pegawai dan anggota dari seluruh kontinjen Negeri Sembilan yang berjaya menumpaskan aktiviti jenayah besar-besaran sekali gus telah menunjukkan kecemerlangan ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara), DCP Datuk Sulaiman Salleh, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling), DCP Tuan Sulaiman Yahaya dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Konstabel Muhammad Khairul Hilmi Zaini.