
Artikel
Timbalan Kpn Tekankan Integriti Disiplin Dan Tadbir Urus Cemerlang Dalam Penugasan
Lawatan kerja berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi PDRM dengan warga di peringkat negeri, di samping meninjau kesiapsiagaan Pas...
Kota Kinabalu, 17 Julai 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menekankan kepentingan integriti, disiplin dan tadbir urus cemerlang dalam setiap penugasan bagi memastikan amanah serta tanggungjawab yang dipikul warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan dengan berkesan.
Perkara tersebut disuarakan ketika beliau menyampaikan amanat kepada warga kontinjen di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pagi tadi.
Lawatan kerja berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi PDRM dengan warga di peringkat negeri, di samping meninjau kesiapsiagaan Pasukan, memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepolisan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi PDRM.
Tan Sri Ayob Khan turut mengingatkan setiap pegawai dan anggota agar terus menjadikan integriti sebagai teras perkhidmatan, mematuhi disiplin serta mengamalkan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Beliau turut menegaskan bahawa segala arahan yang berkuat kuasa, termasuk Peraturan 3C dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, perlu sentiasa dipatuhi dan dijadikan panduan dalam menjalankan tugas.
Beliau juga menyentuh peranan penyelia dalam memperkukuh pemantauan terhadap pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing, di samping mengingatkan warga Pasukan supaya menjauhi sebarang bentuk penyalahgunaan dadah, rasuah dan salah laku yang boleh menjejaskan integriti, kredibiliti serta imej PDRM.
Dalam lawatan sama, Tan Sri Ayob Khan turut mengadakan perjumpaan bersama warga Cawangan Khas IPK Sabah serta menyampaikan amanat khusus berkaitan kepentingan kesiapsiagaan, profesionalisme dan komitmen tinggi dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah (PJP), CP Datuk Jauteh Dikun, JP sebelum mengadakan sesi kunjungan hormat di pejabat rasmi PJP Sabah.
Turut hadir, Pemangku Timbalan PJP Sabah, SAC Datuk Azhar Hamin, Ketua Cawangan Khas Sabah, SAC Datuk Hj. Abd Rahman Ishak serta barisan ketua jabatan dan ketua polis daerah.
Jurugambar: PDRM RMP TV