
Article
Timbalan Kpn Tekankan Integriti Disiplin Dan Akauntabiliti Kepada Warga Kontinjen Pulau Pinang
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyampaikan amanat kepada kira-kira 400 warga Kontinjen Pulau Pinang sempena lawatan...
George Town, 1 Julai 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyampaikan amanat kepada kira-kira 400 warga Kontinjen Pulau Pinang sempena lawatan kerja rasmi beliau yang berlangsung di Dewan Komuniti, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Dennis Lim Kwang Kwang Keng sebelum dibawa menandatangani buku pelawat.
Dalam amanatnya, Tan Sri Ayob Khan menegaskan agar setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjunjung tinggi integriti, disiplin dan profesionalisme, di samping mematuhi rantaian perintah dalam melaksanakan setiap amanah.
Beliau turut menekankan bahawa landskap kepolisan masa kini menuntut warga PDRM agar lebih bersedia menghadapi cabaran teknologi dan media sosial, selain meningkatkan tahap akauntabiliti selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis.
Sehubungan itu, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan salah guna kuasa, rasuah, dadah, perjudian dan gangguan seksual. Pada masa yang sama, setiap aduan orang awam hendaklah ditangani dengan adil, telus dan segera.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan ketua jabatan dan ketua polis daerah Kontinjen Pulau Pinang.
Jurugambar: PDRM RMP TV