
Article
Timbalan Kpn Tauliahkan 52 Pelatih Kor Suksis Ums Inspektor Sukarelawan Simpanan
Kota Kinabalu, 29 Januari 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Razarudin Husain hari ini menyampaikan tauliah pelantikan Inspektor Suka...
Kota Kinabalu, 29 Januari 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Razarudin Husain hari ini menyampaikan tauliah pelantikan Inspektor Sukarelawan Simpanan kepada 52 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Kesemua pelatih Kor SUKSIS diraikan dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor SUKSIS UMS Tahun 2021 di Dataran Kawad serta Auditorium Pascasiswazah universiti tersebut.
Lebih bersejarah dalam majlis yang terdiri daripada 25 siswa dan 27 siswi pelatih kor SUKSIS itu ialah ianya diketuai oleh Inspektor/KS Amirrul Nabill iaitu putera kepada Dato' Razarudin sendiri selaku Pegawai Pemerintah Baris.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato' Razarudin merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan pelatih menempuh sesi latihan dan berharap ilmu serta pengalaman yang ditimba dapat dimanfaatkan apabila berdepan kehidupan yang lebih mencabar di alam kerjaya.
"Adalah diharapkan tuan-tuan dan puan-puan menjadi insan dan pemimpin yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan, selain mempunyai pengetahuan asas dalam bidang kepolisan. Besarlah juga harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan dapat terus mengaplikasikan setiap pelajaran yang diperolehi menerusi latihan ini dalam kehidupan seharian," ujar beliau.
Dalam majlis itu juga, Inspektor/KS Muhammad Pius Herybudiono, Inspektor/KS Nazirah Abdul Ghafor dan Inspektor/KS Amirrul Nabill Razarudin dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Pelatih Terbaik Akademik.
Hadir sama, Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Datin Zainah Othman, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Zaini Jass, Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato' Idris Abdullah, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Komandan Kor Suksis UMS, ACP K/S Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin dan Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar