
Artikel
Timbalan Kpn Sertai Pdrm Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026
Jurugambar: PDRM RMPTV
George Town, 4 Januari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay malam tadi menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 yang bermula di parkir kereta Queens Park, Queensbay, di sini.
Penyertaan Tan Sri Ayob Khan dalam acara kayuhan VVIP bersama barisan Pengarah PDRM bukan sahaja memeriahkan program, malah menjadi simbol kebersamaan kepimpinan Pasukan dengan masyarakat selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”
Program berkenaan menampilkan dua kategori acara berbasikal melibatkan penyertaan lelaki dan wanita menerusi Kayuhan Terbuka sejauh 52 kilometer (km) serta Kayuhan VVIP sejauh 16.6 km.
Pada edisi kali keenam penganjuran, program tersebut menerima sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 2,600 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia serta warga Pasukan dari seluruh negara.
Acara itu juga turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang melibatkan 17 negara termasuk India, Singapura, Thailand dan Filipina dengan peserta termuda berusia 11 tahun manakala yang tertua berumur 77 tahun.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib dengan diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow.
Turut berkenan berangkat mencemar duli dan menyertai acara Kayuhan Terbuka ialah Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin bersama Tunku Puan Mahkota Kedah, DYAM Che Puan Nur Julie Ariff.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama orang awam, antaranya pameran kerjaya, cabutan bertuah, reruai pameran serta gerai jualan.
Hadir sama ialah Ketua Polis Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Ts. Azizee Ismail, barisan Timbalan Pengarah PDRM, ketua-ketua polis negeri, ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis Malaysia dan masyarakat setempat.
Jurugambar: PDRM RMPTV