Artikel
Timbalan Kpn Serikan Majlis Syarah Sahih Al Bukhari Bersanad Darul Iman
Kuala Terengganu, 2 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan ke Majlis Syarah Sahih Al...
Kuala Terengganu, 2 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan ke Majlis Syarah Sahih Al-Bukhari Bersanad Darul Iman yang berlangsung di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, di sini, semalam.
Berangkat bercemar duli ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut berkenan berangkat ke majlis ialah Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin serta kerabat diraja negeri.
Majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan At-Taibah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu itu turut dihadiri lebih 300 tetamu, merangkumi para ilmuan, tetamu kenamaan dan masyarakat setempat.
Program tersebut mengangkat tradisi pengajian hadis secara bersanad, melalui pembacaan dan syarahan kitab Sahih Al-Bukhari yang bertujuan menghidupkan budaya cinta ilmu serta memperkukuh pengajian kitab turath dalam masyarakat.
Sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah, Tan Sri Ayob Khan bersama para tetamu mengikuti sesi syarahan mengenai Hadis Al-Bukhari yang disampaikan oleh Mufti Besar India, Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmed Al-Malibari. Penyampaian tersebut turut diterjemahkan oleh Pengerusi Majlis Bukhari Malaysia, Ustaz (Dr.) Bashir Mohammed Al-Azhari.
Turut hadir, Mufti Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Dato' Dr. Hj. Mohamad Sabri Haron, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Mohd Khairi Khairudin serta para pegawai kanan polis Kontinjen Terengganu.
Jurugambar: PDRM RMP TV




