
Article
Timbalan Kpn Sempurnakan Perasmian Sel Jururunding Pdrm
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Sel Jur...
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Sel Jururunding Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, pagi tadi.
Pasukan Perunding Krisis atau lebih dikenali sebagai Sel Jururunding PDRM merupakan satu usaha Pasukan untuk terus memperkukuh keupayaan modal insan dan kemahiran profesional dalam menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks, terutama ketika berdepan krisis keganasan.
Berucap di majlis tersebut, Dato’ Sri Ayob Khan menjelaskan peranan Sel Jururunding PDRM ditubuhkan untuk mengambil tindakan segera di tempat kejadian, menilai situasi krisis semasa serta menyediakan pelan tindakan yang kemas dan teratur.
Tambah beliau, jawatankuasa yang telah dilantik akan diaktifkan sekiranya berlaku kejadian keganasan di luar negara yang melibatkan penahanan warganegara Malaysia sebagai tebusan atau tindakan yang mengancam kepentingan negara.
Pasukan tersebut diketuai oleh PDRM, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terdiri daripada anggota yang terlatih serta berpengalaman dalam rundingan dan akan berperanan sebagai perantara dengan pengganas bagi mencari penyelesaian damai tanpa keganasan.
Dalam majlis tadi juga, Dato' Sri Ayob Khan telah berbesar hati menyampaikan sijil dan penyematan lencana kepada sembilan pegawai kanan sebagai Jururunding PDRM yang diketuai oleh SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, SAC M.V Srikumar Madhavan Nair.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara, CP Dato' Hj, Baharuddin Hj. Ahmad, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Razali Alias, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato' Seri Sahabudin Abd. Manan, Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat, Legal Attache Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Mr. Jag Khangura serta rakan-rakan media.