
Article
Timbalan Kpn Saksi Bersama Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol
Kuala Lumpur, 11 Januari 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir bersama menyaksikan Majlis Serah Terima...
Kuala Lumpur, 11 Januari 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir bersama menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL bertempat di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Majlis tadi dimulakan dengan menandatangani dokumen serah terima tugas di antara Police Brigadier General Zaw Lin Tun dan Police Colonel David Martinez Vinluan sebelum penyerahan plak simbolik Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL ke-8 sambil disaksikan oleh Deputy Chief of Lao Police Force merangkap Pengerusi ASEANAPOL, Police Brigadier General Kenechanh Phommachack.
Berucap dalam majlis tadi, Timbalan KPN yang mewakili KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Police Brigadier General Zaw Lin Tun atas khidmat bakti serta komitmen beliau sepanjang menerajui Sekretariat ASEANAPOL sejak Mac 2022.
Timbalan KPN dalam ucapannya turut merakamkan ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Police Colonel David Martinez Vinluan atas pelantikan sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL yang baharu dan berharap dengan pengalaman yang ada, beliau mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam memacu sekretariat dengan visi dan strategi yang hebat.
‘’Dengan penuh harapan, saya berharap agar sekretariat ASEANAPOL akan terus melaksanakan mandatnya untuk menyelaras dan bekerjasama dengan pihak kepolisan global, dalam mengangkat ASEANAPOL ke tahap yang lebih tinggi ke arah mencapai visinya iaitu ‘bersama-sama kita menjaga keselamatan rantau ini’’’, ujar beliau.
Turut hadir, Deputy Chief of MPF, Police Major General Aung Aung, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato’ Sri Azri Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Deputy Director for Plans FNP, Police Brigadier General Nicolas Salvador, barisan pegawai kanan PDRM dan delegasi ASEANAPOL.
Jurugambar: PDRM RMPTV