
Article
Timbalan Kpn Rasmi Majlis Pelancaran Inisiatif 1 000 Kasih Alumni Ukm
Ketibaan beliau sekitar jam 3.00 petang disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak bersama Naib Canselor UKM,...
Bangi, 2 September 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif 1,000 Kasih Alumni yang berlangsung di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketibaan beliau sekitar jam 3.00 petang disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak bersama Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh.
Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa Inisiatif 1,000 Kasih Alumni merupakan wadah penting bagi memperkukuh jaringan kebersamaan antara alumni dengan universiti serta menjadi platform untuk menyokong agenda pendidikan negara.
Tambahnya, selain sumbangan yang merupakan inisiatif para alumni, usaha itu juga menjadi medium wakaf bagi menyokong kebajikan pelajar serta fasiliti kampus dalam membina daya tahan kewangan universiti pada masa hadapan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa usaha sebegini mampu menjadi teladan kepada institusi pendidikan lain dalam memupuk budaya menyumbang semula kepada masyarakat.
"Dengan sokongan berterusan daripada alumni, UKM berpotensi untuk terus melangkah sebagai universiti unggul yang melahirkan graduan berdaya saing serta mempunyai jiwa besar dalam menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau.
Selesai ucapan, majlis diteruskan dengan gimik Penyerahan Sumbangan 1,000 Kasih Alumni, di mana Tan Sri Ayob Khan diberi penghormatan menyempurnakan penyerahan tersebut bersama Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad sebagai simbolik serahan sumbangan kewangan alumni kepada pihak universiti.
Turut hadir, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Dr. Roslan Ja’afar, Ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan, Dato’ Dr. Azmi Abdullah, Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Ketua Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Westports Malaysia Sdn. Bhd., Encik Ravindran Gunasekaran serta para alumni UKM.
Jurugambar: PDRM RMP TV