
Artikel
Timbalan Kpn Penuhi Undangan Sebagai Panel Seminar Keselamatan Sempadan Negara
Sepang, 26 September 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah memenuhi undangan sebagai salah seorang pan...
Sepang, 26 September 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay telah memenuhi undangan sebagai salah seorang panel dalam Seminar Keselamatan Sempadan Negara yang diadakan di Cindai Ballroom, Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, di sini, pagi tadi.
Forum bertajuk “Pengukuhan Keselamatan Sempadan Negara: Strategi dan Tindakan,” anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut menampilkan dua panel lain iaitu Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Noorrul Azril Ariffin dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan), Majlis Keselamatan Negara, Tuan Hamzah Ishak serta Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Encik Mujibu Abd Muis sebagai moderator.
Antara intipati yang ditekankan oleh Dato’ Sri Ayob Khan dalam wadah perbincangan hampir dua jam itu adalah kepentingan integriti dalam memerangi dan menangani pelbagai elemen jenayah di negara ini.
“Isu jenayah sama ada melibatkan penyeludupan, dadah atau pelbagai jenayah lain, sekiranya integriti tidak dibudayakan, percayalah ia tidak akan berhasil,” tegas beliau tadi.
Tambahnya lagi, tugas memelihara keselamatan negara dan mempertahankan undang-undang hendaklah dipikul bersama oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan semua pihak sentiasa bersedia mendepani pelbagai cabaran keselamatan negara ketika ini.
Terdahulu, program yang turut diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Youtube itu dimulakan dengan pembentangan hasil kajian oleh Ketua Penyelidik Kajian Indeks Keselamatan Sempadan Negara 2023, Profesor Dr. Yarina Ahmad.
Ia kemudiannya diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim, Hj. Abdul Rahman.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Bukit Aman, DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif IPSOM KDN, Tuan Lokman Effendi Ramli @ Zakaria, para pegawai kementerian dan agensi penguatkuasaan negara serta wakil media.
Jurugambar: PDRM RMP TV










