
Artikel
Timbalan Kpn Penuhi Undangan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kerajaan Thailand
Kuala Lumpur, 6 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay malam tadi berbesar hati memenuhi undangan ke...
Kuala Lumpur, 6 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay malam tadi berbesar hati memenuhi undangan ke Majlis Makan Malam Sambutan Hari Kebangsaan Kerajaan Thailand di Grand Ballroom, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, di sini.
Kehadiran Dato’ Sri Ayob Khan mewakili Polis Diraja Malaysia membuktikan hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dengan Thailand melalui pelbagai kerjasama, khususnya dalam bidang kepolisan yang memberi impak positif buat kedua-dua negara.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Duta Thailand ke Malaysia, H.E. Ms. Lada Phumas yang menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, diikuti ucapan balas oleh Menteri Komunikasi, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Majlis yang berlangsung dengan penuh tradisi Thailand itu turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan negara Gajah Putih dan dipertontonkan di hadapan tetamu jemputan sepanjang majlis jamuan diplomatik itu.
Antara yang hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari Abdul, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, barisan pegawai kedutaan asing, ketua-ketua jabatan dan agensi, Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Antarabangsa), SAC Dato’ Pahlawan Suparamaniam Ramasamy, Ketua Polis Daerah Dang Wangi , ACP Sulizme Affendy Sulaiman dan para pegawai kanan kerajaan.