
Artikel
Timbalan Kpn Pengerusikan Mesyuarat Jpksn Bil 3 2024 Fokus Perkasa Keselamatan Sempadan Negara
Kuala Lumpur, 13 November 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat Jawatank...
Kuala Lumpur, 13 November 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempadan Negara (JPKSN) Bilangan 3/2024 di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, di sini.
Dato' Sri Ayob Khan dalam ucapannya berkata, keprihatinan kerajaan bagi memperkasakan sempadan negara jelas terbukti apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan sejumlah RM560 juta menerusi Belanjawan 2025 melalui Ikhtiar 58: Urusan Sempadan Negara, khusus bagi memperkukuhkan kawalan sempadan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dalam mesyuarat tersebut juga, Dato' Sri Ayob Khan mengalu-alukan keahlian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia di dalam JPKSN yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan bersepadu melibatkan pergerakan orang, kenderaan dan barangan termasuk kargo, haiwan serta tumbuhan di pintu masuk sempadan negara.
Dalam mesyuarat sama, Dato' Sri Ayob Khan turut ditaklimatkan mengenai situasi semasa keselamatan di sempadan oleh Komander Eastern Sabah Security Command, DCP Datuk Victor Sanjos, Ketua Penolong Pengarah (Pasukan Gerakan Am), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC Shaiful Azmi Hussein Omar, Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Muda (Maritim) Mohd Zawawi Abdullah.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Suhaily Mohd Zain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Seri Khaw Kok Chin, Pemangku Pengarah Jabatan KDNKA, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, barisan ketua dan timbalan pengarah agensi kerajaan serta para pegawai kanan polis.