
Artikel
Timbalan Kpn Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi Pdrm Tahun 2023
Kuala Lumpur, 5 Disember 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankua...
Kuala Lumpur, 5 Disember 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2023 di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, petang tadi.
Mesyuarat Jawatankuasa yang bersidang saban tahun itu telah membentangkan pelaporan dan maklum balas kemajuan serta penilaian pembudayaan inovasi dalam Pasukan.
Sebagai nadi kepada pembudayaan inovasi Pasukan, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman bertanggungjawab membentangkan beberapa pelaporan serta program induk yang telah dilaksanakan sepanjang takwim tahunan berkait pelbagai aktiviti inovasi.
Antaranya, menilai dan memantau keberkesanan pembudayaan inovasi, memperakukan pelaporan tahunan pembudayaan inovasi dan membincangkan hala tuju serta strategi bagi menggalakkan usaha pemerkasaan inovasi Pasukan.
Dalam majlis yang sama, Dato' Sri Ayob Khan berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada jabatan dan kontinjen yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan inovasi sektor awam yang dimenangi PDRM baru-baru ini. Selain itu, Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) PDRM turut diberikan kepada jabatan dan kontinjen yang telah mendapat markah cemerlang dalam membudayakan EKSA menerusi audit dalaman bil. 1 dan 2 tahun 2023. Ini menunjukkan komitmen yang jitu pucuk pimpinan jabatan dan kontinjen dalam amalan EKSA PDRM.
Hadir sama, barisan Pengarah Jabatan PDRM, Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.