
Artikel
Timbalan Kpn Hadiri Majlis Pelancaran Kamus Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan Pdrm Edisi Pertama 2025
Sintok, 27 April 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Pelancaran Kamus Kompetensi Tingkah...
Sintok, 27 April 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Pelancaran Kamus Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Edisi Pertama Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Kuliah Gugusan, Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, tengah hari tadi.
Majlis anjuran PDRM dengan kerjasama UUM itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Pembangunan Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan PDRM dengan kerjasama UUM telah bermula sejak awal tahun 2021. Ia bertujuan untuk membangunkan sistem penilaian kompetensi berdasarkan tingkah laku kepimpinan dan pengurusan dalam PDRM, dengan penekanan kepada perjawatan strategik.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution berharap agar Kamus Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan PDRM itu menjadi warisan yang bermanfaat kepada pasukan keselamatan negara, seterusnya memperkukuh kedudukan PDRM sebagai sebuah organisasi kepolisan yang dihormati, profesional dan berintegriti tinggi.
Seterusnya, sebagai simbolik pelancaran, Dato’ Sri Ayob Khan bersama tetamu kehormat mengiringi Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi menandatangani kamus tersebut.
Seusai majlis, Dato’ Sri Ayob Khan dan Ahli-ahli Suruhanjaya Pasukan Polis turut mengiringi Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk melawati Pusat Penilaian Kompetensi PDRM di Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Sesi taklimat berkaitan Penilaian Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan dan Potensi Jawatan Strategik PDRM telah disampaikan oleh Ketua Penyelidik UUM, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Mohd Isa.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr. Russayani Ismail, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Fisol Salleh, para pegawai kanan PDRM serta warga UUM.