
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Sesi Demonstrasi Kawalan Rusuhan Unit Berkuda Psp
Cheras, 2 Ogos 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyaksikan demonstrasi kawalan rusuhan oleh Unit B...
Cheras, 2 Ogos 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyaksikan demonstrasi kawalan rusuhan oleh Unit Berkuda, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Padang Kawad PSP, di sini, pagi tadi.
Demonstrasi dimulakan dengan pembentukan formasi kawalan secara dinamik oleh pasukan berkuda dalam suasana simulasi rusuhan. Kecekapan mengawal pergerakan kumpulan agresif ditampilkan menerusi teknik ‘Mounted Barrier Line’ iaitu formasi khas hadangan menggunakan kuda sebagai barisan depan untuk menyekat dan mengawalperusuh.
Sesi taktikal itu diketuai oleh Pegawai Pemerintah Unit Berkuda, PSP, KDNKA Bukit Aman, DSP Dayang Kasmayane Awang Anak dengan melibatkan 14 ekor kuda baka Arab yang terkenal dengan ketahanan fizikal, ketangkasan dan sifat tenang walaupun dalam keadaan tertekan.
Antara nama kuda yang terlibat ialah Mumtaz, Ejen Park Chill, JJ Shahueco, On Destructor, VV Coco, GB Sera, Ohara Armor, VI, Jadjinura, Nawan De Fignols, Lindall Lalola, UF Ferico, Al Sakbh dan Willy. Pemilihan baka ini diyakini mampu meningkatkan kecekapan unit dalam menangani operasi sebenar yang melibatkan risiko tinggi.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan KDNKA Bukit Aman, CP Dato’ Fisol Salleh, Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Timbalan Pengarah (WCB/PSK) Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, Komander PSP, SAC Rosli Mohd Yusof, Komander Unit Tindakhas, SAC Hisham Mahmood dan Komander Briged Tengah PGA, Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Hakemal Hawari.