
Article
Timbalan Kpn Hadir Mesyuarat Tiga Penjuru Antara Pdrm Jabatan Kimia Dan Peguam Negara
George Town, 15 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Mesyuarat Tiga Penjuru antara Jabata...
George Town, 15 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Mesyuarat Tiga Penjuru antara Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia), Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di G Hotel Gurney, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Hussein Omar Khan selaku Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat.
Antara inti pati mesyuarat tersebut membincangkan hal-hal berkaitan kes-kes jenayah, standard analisis dan kerjasama dalam penyediaan bukti saintifik untuk perbicaraan mahkamah di samping memperkemas proses undang-undang dan memastikan keadilan seperti yang sering dianjurkan secara berkala di peringkat negeri mahupun pusat.
Berucap dalam majlis itu, Tan Sri Ayob Khan berkata, mesyuarat yang diadakan ini merupakan platform strategik yang signifikan, diilhamkan sejak tahun 2019 dan kini terus memainkan peranan penting dalam memperkasa keberkesanan sistem keadilan jenayah di negara.
“Saya juga optimis bahawa dengan gabungan kepakaran, pengalaman luas serta komitmen padu daripada semua rakan strategik yang hadir, mesyuarat ini akan menghasilkan keputusan dan pendekatan yang lebih tuntas, konstruktif serta berimpak tinggi,” ujar beliau.
Ia juga menjadi platform pertukaran pandangan dan kepakaran antara agensi terlibat, khususnya dalam memperkukuh kaedah penyiasatan forensik, penyelarasan pengendalian kes serta penambahbaikan prosedur kerja bagi memastikan keberkesanan pembuktian kes di mahkamah.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Rusdi Mohd Isa, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan 1, Jabatan Peguam Negara, Dato’ Razali Che Ani, Ketua Timbalan Pengarah (Dasar), ChM. Tuan Hj. Khairul Anuar Abdul Aziz serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kimia Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
Jurugambar: PDRM RMP TV




