Article
Timbalan Kpn Hadir Majlis Penutup Program Hari Keluarga Jelajah Wira Madani Peringkat Briged Tengah Pga
Semenyih, 18 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir merasmikan Majlis Penutup Program Hari Keluarga Jelajah Wira...
Semenyih, 18 Oktober 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir merasmikan Majlis Penutup Program Hari Keluarga Jelajah Wira MADANI peringkat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung meriah di Batalion 4, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu menyatukan warga Briged Tengah PGA dan ahli keluarga dalam suasana mesra serta penuh harmoni. Pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah dianjurkan bagi menyemarakkan lagi semangat kekeluargaan.
Berucap dalam majlis penutup, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa Program Jelajah Wira Madani merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menghargai jasa wira negara termasuk polis, tentera, bomba dan agensi keselamatan lain, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan kerjaya, nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan warga Sang Saka Biru.
Beliau turut menegaskan bahawa program ini mendukung kerangka Negara MADANI yang berasaskan kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan sekali gus mencerminkan ikatan perpaduan dalam keluarga besar Briged Tengah PGA Semenyih sebagai tunjang kekuatan dan keharmonian organisasi.
“Negara kini berdepan peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja akibat pengaruh media sosial dan tekanan hidup. Justeru, warga Sang Saka Biru diseru memperkukuh institusi keluarga dan komuniti agar generasi muda kekal berakhlak serta memperteguh kekuatan PDRM dalam memelihara keamanan negara,” ujar beliau.
Terdahulu, telah diadakan ceramah dari Akademi Kenegaraan Malaysia yang disampaikan oleh Sahabat Penggerak MADANI, Encik Mohd Feisal Aidan serta penyerahan Bakul Rahmah kepada warga Briged Tengah PGA yang memerlukan.
Turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Briged Tengah PGA, Puan Noor Manita Mohd Mokhtar, ahli-ahli PERKEP dan warga Briged Tengah PGA.
Jurugambar: PDRM RMP TV