Tiga Anggota Geng 08 Vinod Ditahan Seorang Masih Diburu
Kuala
Lumpur, 7 Ogos - Polis menahan tiga daripada empat lelaki dipercayai
anggota 'Geng 08 Vinod' selepas kereta dinaiki mereka terbabas apabila
cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Lingkaran
Tengah 2 (MRR2), awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 2.10 pagi
ini, kereta dinaiki empat suspek berumur antara 20 dan 21 tahun itu
melanggar kon sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
sebelum melarikan diri.
Beliau berkata dua anggota JPJ bertindak mengejar kereta suspek yang kemudian terbabas di Jalan Ulu Yam, Selayang.
"Sebaik
sahaja terbabas, kesemua suspek melarikan diri ke dalam hutan
berhampiran, namun tiga suspek berjaya ditahan dengan bantuan unit K9
(unit anjing pengesan)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata polis masih mencari seorang lagi suspek dipercayai masih bersembunyi di dalam hutan.
Menurut
beliau, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki suspek dilaporkan
hilang dan polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek terbabit dalam
beberapa kes curi kereta, selain samun di sekitar kawasan Selayang dan
Rawang.
Katanya, polis juga merampas dua bilah parang, satu pisau lipat dari kereta suspek.
Sumber : BERNAMA