Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Terkini Kumpulan Ayah Yie Tiger 99 Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

Diterbitkan: 18 Feb 2020 1.57 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 2.22 AM
Lelaki dikenali sebagai ‘Ayah Yie Tiger’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Ayah Yie Tiger 99 (AYT) sejak tiga tahun lalu.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/terkini-kumpulan-ayah-yie-tiger-99-didakwa-di-mahkamah-hari-ini
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 01:27 MYT

Lelaki dikenali sebagai ‘Ayah Yie Tiger’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Ayah Yie Tiger 99 (AYT) sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Masyre Mohamed Narizan,39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan selepas dibacakan hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Manakala bagi pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Masyre yang juga seorang penjawat awam didakwa memiliki tiga pistol jenis CAL.45, Taurus 9mm dan pistol CZ75 serta 12 peluru hidup di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang, 31 Januari lalu.

Masyre juga didakwa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang antara Mei 2017 hingga 22 Januari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Senjatapi 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, 11 individu turut didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Ayah Yie Tiger 99’.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang berusia 28 hingga 43 selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mereka ialah Mohd Azizan Ibrahim @ Ayah Botak Chin; W Mohd Ihsan W Razali @ W Husin; Mohd Faizal Ramli; Muhamad Fakhrurazi Ali; Nuriasbat Mohd Maamon; Mohamad Sharfiq Mohamed Ali; Rustam Tanni; Mohamad Noor Helmi Zainal Abidin; Azukismi Che Abdullah; Nik Arzahar Nik Mat dan Mohamad Japri Abu Samah.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanuddin Alias, Mohamad Suffian Jaafar dan Muhammad Asyraf Minhad.

Antara peguam mewakili tertuduh, Lee Wenxu, Fazilawati Hussin, Zaleha Al-Hayat, Gerard Lazarus dan Mohd Ozier Farhan.

Mahkamah menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula.

Terdahulu semua tertuduh dibawa menaiki trak polis pada 11 pagi dengan dikawal ketat anggota polis bertugas di sepanjang laluan ke Mahkamah Sesyen 3 di sini.

Sumber: RMP TV CHANNEL dan Harian Metro

https://www.youtube.com/watch?v=38BVEfd77dM&feature=youtu.be&fbclid=IwAR3nvH3-CjLFMEJtjnG8qROELwrKU3ZwhwKS6QdAtNRF2cIxu_-1XHWHMbY
ArtikelDiterbitkan 18 Feb 2020 1.57 PMDikemas kini 17 Jul 2026 2.22 AM