Suspek Larikan Mpv Polis Diberkas
Kuantan,
7 Julai - Seorang lelaki yang ditahan kerana mencuri simen melarikan
sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik polis sebelum diberkas
selepas melarikan kenderaan itu sejauh 15km.
Sebelum
kejadian, suspek terbabit bersama seorang lagi rakannya, masing-masing
berumur 30-an, mencuri simen di kawasan tapak pembinaan perumahan di
Indera Mahkota.
Menurut
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad, empat anggota
polis iaitu dua menunggang motosikal dan dua lagi menaiki sebuah MPV,
bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada penyelia
tapak pembinaan itu.
"Anggota
polis tiba di tempat kejadian kira-kira 12.15 tengah hari dan mendapati
kedua-dua suspek sedang memunggah simen ke dalam sebuah lori.
"Kedua-dua suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis,
namun seorang daripadanya diberkas," katanya kepada Bernama di sini hari
ini.
Selepas
memberkas suspek terbabit, seorang anggota polis memasukkan suspek ke
dalam MPV itu dan sejurus pintu ditutup, suspek bertindak melarikan
kenderaan itu.
Rakan suspek pula ditahan tiga anggota polis di kawasan sama. "Suspek
melarikan kenderaan MPV itu ke arah Taman Tas dengan memandu secara
melawan arus. Polis kemudiannya menemui MPV itu ditinggalkan di tepi
jalan di Taman Tas 15 minit kemudian, dengan satu daripada tayar
belakangnya pecah," katanya.
Aziz
berkata hasil gerakan memburu, suspek ditahan berhampiran sebuah kedai
besi buruk, di Jalan Galing Kem, dekat sini 6.30 petang semalam.
"Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan penyalahgunaan dadah," katanya.
Sumber : BERNAMA