
Artikel
Sukan Tunjang Pembentukan Disiplin Dan Jati Diri Warga Pdrm Kpn
Bangi, 29 Januari 2025 – “Sukan menjadi tunjang penting dalam melahirkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sihat, berdisiplin, berdaya tahan dan bersem...
Bangi, 29 Januari 2025 – “Sukan menjadi tunjang penting dalam melahirkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sihat, berdisiplin, berdaya tahan dan bersemangat juang tinggi, sekali gus mencerminkan keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kesejahteraan diri,” demikian penegasan Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail semasa berucap pada Majlis Anugerah Sukan PDRM 2023 hingga 2025 di Bangi Convention Centre.
Berucap dalam majlis yang diadakan, beliau menyatakan bahawa penganjuran majlis malam tadi bukan sekadar pengiktirafan pencapaian sukan, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen berterusan PDRM dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari segi fizikal, mental dan emosi selari dengan tuntutan profesionalisme perkhidmatan kepolisan.
Tambah beliau, sukan turut berperanan sebagai platform yang menyemarakkan semangat kebersamaan, mengeratkan silaturahim antara pucuk pimpinan dan seluruh warga PDRM di samping memperkukuh pembentukan jati diri warga Pasukan merentas kontinjen dan formasi.
KPN yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet-atlet PDRM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang bukan sahaja mengharumkan nama Pasukan, malah menyumbang kepada peningkatan martabat sukan negara.
Majlis yang berlangsung menyaksikan pelbagai kategori anugerah sukan disampaikan oleh Dato' Sri Hj. Mohd Khalid antaranya olahragawan dan olahragawati, atlet harapan (Lelaki dan Wanita), jurulatih terbaik dan pengelola/pasukan terbaik.
Bagi tahun 2023, pengiktirafan Olahragawan PDRM telah diberikan kepada Konstabel Muhammad Soufi Rusli daripada sukan lawn bowls, manakala Olahragawati PDRM disandang oleh Lans Koperal Siti Nurzubaidah Che Ab Wahab yang mewakili sukan sepak takraw.
Manakala bagi tahun 2024, Konstabel Zamarul Al Adam Pulutan Abdullah daripada sukan bina badan dinobatkan sebagai Olahragawan PDRM, sementara Inspektor Noor Hasliza Md Ali daripada sukan hoki menerima anugerah Olahragawati PDRM, sekali gus mencerminkan keupayaan warga Pasukan mengimbangi tuntutan kerja dengan kecemerlangan sukan.
Sementara itu bagi tahun 2025, majlis menyaksikan Konstabel Muhammad Soufi Rusli sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan PDRM bagi sukan lawn bowls, manakala Sarjan Mejar Emma Firyana Saroji yang mewakili sukan lawn bowls dipilih sebagai Olahragawati PDRM atas pencapaian konsisten yang ditonjolkan.
Majlis Anugerah Sukan PDRM menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada pengurusan pasukan, jurulatih serta atlet yang terus komited menyokong pembangunan sukan sebagai elemen penting dalam pembentukan anggota Pasukan yang seimbang, profesional dan berdaya saing.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan, Datin Sri Selmiah Tuan Ibrahim, barisan Pengarah Jabatan PDRM, Pesuruhjaya dan Ketua-Ketua Polis Negeri, barisan Komander dan Komandan PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abd Rahman Kassim serta pengamal media.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar.






