Suami Isteri Ditahan 654 Gram Heroin Dirampas Di Cherating
Kuantan, 16 Julai - Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan isterinya dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Cherating dekat sini awal pagi semalam.
Pasangan
itu ditahan dalam pemeriksaan pada pukul 2.45 pagi ketika berada di
dalam sebuah kereta Proton Saga bersama tiga anak mereka berusia antara
empat dan enam tahun.
Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Pahang DSP Zaini Talib berkata polis menemui satu beg plastik
yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 654 gram yang diletakkan di
bawah tempat duduk penumpang hadapan.
"Dadah
jenis heroin yang dipercayai dibawa masuk dari Selangor itu bernilai
RM39,240 dan ia dipercayai untuk diedar kepada penagih di sekitar bandar
Kuantan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata polis turut merampas kereta milik suspek yang ketika kejadian
dipandu isterinya berusia 29 tahun manakala suspek, 33, duduk di tempat
penumpang hadapan.
"Kami
masih menyiasat sama ada isteri suspek terlibat atau tidak dalam
akitiviti pengedaran dadah ini manakala tiga anaknya yang berusia antara
empat dan enam tahun itu telah diserah kepada ahli keluarga mereka.
"Kami
juga percaya suspek dari Kajang, Selangor kononnya membawa isteri dan
anaknya bercuti ke Cherating bagi mengaburi mata pihak polis daripada
mengesan aktivitinya," katanya.
Zaini
berkata siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh itu
mempunyai rekod lampau manakala isterinya bekerja di sebuah syarikat
komunikasi di Selangor dan tiada rekod jenayah.
Pasangan
itu kini direman sehingga 21 Julai untuk membantu siasatan mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh
dikenakan hukuman mati mandatori, katanya.
Sumber : BERNAMA