
Article
Sidang Kemuncak Asean Ke 46 Kpn Hadiri Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur
Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045:...
Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama yang berlangsung petang tadi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Majlis bersejarah itu dihoskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan turut disertai oleh pemimpin tertinggi negara-negara ASEAN. Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Barisan menteri kabinet Malaysia, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan asing dari seluruh dunia turut menyertai majlis tersebut sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Acara tersebut merupakan antara agenda utama sidang kemuncak yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin turut meluangkan masa menyantuni petugas PDRM dan meninjau kesiapsiagaan Pasukan dalam memastikan keselamatan serta kelancaran persidangan sepanjang ia berlangsung.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin