
Artikel
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Bukit Aman Angkat Tema Madani Dihayati Ummah Diberkati
Program anjuran JIPS dengan kerjasama Masjid Bukit Aman itu bertujuan menyemarakkan penghayatan Maal Hijrah dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) m...
Kuala Lumpur, 3 Julai 2026 – Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Bukit Aman berlangsung dalam suasana penuh penghayatan apabila mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” dengan tajuk “Hijrah Amanah, Maruah Dijulang”, yang diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di Dewan Serbaguna Masjid Bukit Aman, pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato’ Aida Abdul Hamid selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bersama Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim yang merupakan Pengerusi Masjid Bukit Aman.
Program anjuran JIPS dengan kerjasama Masjid Bukit Aman itu bertujuan menyemarakkan penghayatan Maal Hijrah dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui penerapan nilai-nilai murni berteraskan ajaran Islam.
Tema yang diketengahkan menyeru warga PDRM agar terus memperkukuh amanah dalam melaksanakan setiap tanggungjawab serta memelihara maruah diri dan organisasi demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Program dimulakan dengan Majlis Tadabbur dan Haflah al-Quran yang disampaikan oleh Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn. Bhd., Ustaz Hj. Fazrul Ismail bersama barisan qari iaitu Ustaz Mohamad Husaini Mahmur, Ustaz Muhammad Ahmad Zahid dan Ustaz Sarjan Mejar Hj. Razlee Asmat.
Pengisian tersebut bukan sahaja memperdengarkan alunan bacaan ayat suci al-Quran, malah turut mengupas maksud serta mesej yang terkandung di dalamnya melalui pendekatan yang mudah difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Turut hadir ialah barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM serta Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery





























