
Artikel
Rotary Malaysia Iktiraf Sumbangan Dan Pengorbanan Pdrm Bendung Wabak Covid 19 Di Malaysia
Kuala Lumpur, 3 Februari 2022 - Rotary Malaysia hari ini menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan petugas barisan hadapan dari Polis Diraja Malay...
Kuala Lumpur, 3 Februari 2022 - Rotary Malaysia hari ini menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan petugas barisan hadapan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus berusaha untuk mengekang dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 dalam negara.
Dalam Majlis "Pride of Workmanship Award" yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim hari ini, Governor Rotary Malaysia, Dato' Bindi Rajasegaran berkata, pengiktirafan yang diberikan itu adalah hasil daripada peranan yang dimainkan oleh semua petugas PDRM dan barisan hadapan lain sehingga negara pernah mendapat pengiktirafan dunia.
Rotary Malaysia turut menyifatkan kesemua petugas barisan hadapan sebagai wira negara yang telah bekerja keras sejak dari awal wabak tersebut dikesan dalam negara.
Menerusi majlis itu juga, Rotary Malaysia telah berbesar hati menyampaikan cek sumbangan bernilai RM190,000 buat Pasukan dan sijil penghargaan kepada 10 wakil dari setiap Jabatan PDRM yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Razarudin Husain mewakili pucuk pimpinan PDRM.
Majlis penghargaan tadi turut dihadiri oleh Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Zaini Jass, Advisor Pride of Workmanship Committee, Datuk Shamrat Sen Gupta dan barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya serta Ketua Polis Negeri.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini