Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Psd V 2026 Pdrm Perkukuh Jaringan Kerjasama Demi Keselamatan Masa Hadapan

Diterbitkan: 12 May 2026 8.23 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 6.55 PM
Kuala Lumpur, 12 Mei 2026 - Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) merupakan simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan keselamatan strategik antara agensi penguatkuasaan, institusi kerajaan dan rakan industri dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks serta dinamik.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/psd-v-2026-pdrm-perkukuh-jaringan-kerjasama-demi-keselamatan-masa-hadapan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:56 MYT

Kuala Lumpur, 12 Mei 2026 - Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) merupakan simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan keselamatan strategik antara agensi penguatkuasaan, institusi kerajaan dan rakan industri dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks serta dinamik.

Program itu secara rasmi membuka tirainya hari ini dan pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dengan diiringi Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di KLGCC Convention Centre, di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menekankan mengenai ancaman keselamatan yang tidak lagi terhad kepada jenayah konvensional dan kini berhadapan dengan evolusi jenayah siber yang kompleks, penipuan kewangan digital yang memangsakan rakyat serta aktiviti sindiket terancang yang mencabar kedaulatan Negara.

Beliau turut menzahirkan harapan agar PSD terus mekar sebagai platform penukaran risikan dan kepakaran yang melangkaui sempadan organisasi, selain untuk membina jaringan kerja yang ampuh demi kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang.

Bertemakan "Synergized Policing: Securing the Future Together", program anjuran PDRM menerusi Jabatan Pengurusan bersama Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS) itu diterajui oleh empat jabatan utama iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Penganjuran edisi kelima kali ini mencerminkan kematangan platform sebagai wadah strategik yang menghimpunkan pemegang taruh utama daripada kepimpinan negara dan pasukan keselamatan, hinggalah ke pihak industri serta ahli akademik demi meningkatkan sinergi dalam memperkukuh benteng keselamatan negara.

Terdahulu dalam majlis sama, telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertujuan membaharui kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, latihan profesional dan penyelidikan khususnya, bidang sains forensik bagi memperkukuh kompetensi teknikal serta akademik pegawai polis, selain menyokong pembangunan kepakaran forensik negara.

Sesi itu melibatkan Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid, diringi Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid mewakili PDRM dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, diiringi Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak sambil disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Tuan Adam Adli Abdul Halim.

PSD V 2026 yang berlangsung selama dua hari (12 hingga 13 Mei) merangkumi 31 sesi iaitu forum, bengkel teknikal dan pameran yang mengetengahkan solusi bagi mendepani isu keselamatan maritim, narkotik serta inovasi penguatkuasaan.

Ia turut disertai lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan dan 135 syarikat tempatan serta antarabangsa.

Hadir sama dalam majlis tadi ialah barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, para pegawai kanan kementerian, agensi kerajaan, wakil AIS serta rakan media.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar

May be an image of text

May be an image of one or more people, dais and text

May be an image of text

May be an image of dais

May be an image of text


ArtikelDiterbitkan 12 May 2026 8.23 AMDikemas kini 15 Aug 2026 6.55 PM