
Artikel
Psd V 2026 Melabuh Tirai Kpn Zahir Penghargaan Kepada Semua Pihak Terlibat
Kuala Lumpur, 13 Mei 2026 – Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) melabuhkan tirainya hari ini dengan penuh jayanya selepas berlan...
Kuala Lumpur, 13 Mei 2026 – Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) melabuhkan tirainya hari ini dengan penuh jayanya selepas berlangsung selama dua hari sebagai platform dialog strategik yang menghimpunkan pemimpin, pakar dan pengamal keselamatan dalam memperkasa perkongsian idea, kepakaran serta wacana ilmiah berkaitan keselamatan negara dan cabaran penguatkuasaan semasa.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di KLGCC Convention Centre, di sini, petang tadi.
Dalam ucapan penutupannya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran program berprestij tersebut, khususnya Jabatan Pengurusan yang diterajui pengarahnya, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid dan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS) selaku penganjur bersama.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan penglibatan aktif semua peserta sepanjang penganjuran PSD V 2026 yang berjaya menampilkan sebanyak 31 sesi perbincangan intelektual melibatkan pelbagai topik berimpak tinggi, termasuk evolusi teknik manipulasi psikologi dalam jenayah siber, penggunaan kecerdasan buatan dalam kawalan sempadan serta strategi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah menerusi risikan kewangan.
"Saya percaya setiap input dan resolusi yang dicapai sepanjang dialog ini akan memberi nilai tambah kepada semua peserta selain menjadi asas penting dalam menggubal strategi keselamatan yang lebih efektif, sekali gus memperkukuh ekosistem keselamatan negara demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia atas inisiatif menawarkan program Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Forensik, Sains Sosial, Pengurusan dan Komunikasi dengan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya kepada pegawai polis yang berkelayakan.
Hadir sama, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia, barisan Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri, Pengarah Eksekutif AIS, Encik Mohd Aqlan Pacleb, para pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan serta rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Lans Koperal Bryan Mustin




