
Artikel
Prn Keselamatan Di Seluruh Johor Terkawal Dan Proses Undian Berjalan Lancar Kpn
Johor Bahru, 11 Julai 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini berada di lapangan sempena Pilihan Raya Negeri...
Johor Bahru, 11 Julai 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini berada di lapangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi mengikuti perkembangan semasa hari pengundian serta mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan operasi dan kesiapsiagaan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.
Terdahulu, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Molek pada jam 11.45 pagi bagi menyaksikan sendiri suasana pengundian serta pelaksanaan tugas pegawai dan anggota PDRM yang ditempatkan di pusat mengundi tersebut.
Beliau kemudiannya mengadakan sidang media bagi menjelaskan keadaan semasa sepanjang tempoh pengundian berlangsung.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan keselamatan di seluruh Johor berada dalam keadaan terkawal dan proses pengundian berjalan lancar.
“PDRM akan terus mempertingkat pemantauan dan penugasan sehingga keseluruhan proses pilihan raya selesai bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman serta kelancaran proses demokrasi terus terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, seramai lebih 14,000 pegawai dan anggota polis telah digerakkan di seluruh Johor termasuk bantuan sumber manusia daripada beberapa kontinjen lain bagi menyokong pelaksanaan operasi.
Penugasan tersebut merangkumi kawalan di pusat-pusat mengundi, rondaan pencegahan jenayah, pengurusan lalu lintas, pengiringan peti undi serta pemantauan berterusan di lokasi strategik di seluruh negeri.
Sejurus itu, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid meneruskan kunjungan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Foon Yew 4, Larkin bagi mendapatkan maklumat terkini di pusat mengundi berkenaan selain menyantuni petugas yang sedang melaksanakan amanah masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang bertugas di semua lokasi penugasan atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengundi yang memberikan kerjasama baik serta mematuhi segala peraturan sepanjang proses pembuangan undi.
Sebelum mengakhiri program, beliau sempat melawat Bilik Full Manning PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bagi mengikuti gerak kerja operasi serta menerima taklimat berkaitan situasi terkini PRN daripada pusat penyelarasan operasi PDRM.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ab Rahaman Arsad, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali, Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat, Setiausaha Majlis Bandaraya Pasir Gudang selaku Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri N.42 Johor Jaya, Encik Ezlan Farid Mohd Said, Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar.