
Artikel
Posting Pilihan Timbalan Mdn Menziarahi Pesara Polis
Program julung kali diadakan ini merupakan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia sebagai tanda keprihatinan pihak Kerajaan serta Pasukan...
Kuala Lumpur, 3 April 2024 - Timbalan Menteri Dalam Negeri (Timbalan MDN) merangkap Pengerusi Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah mengadakan Program Ziarah Kasih ke atas pesara polis di sekitar ibu kota di sini, semalam.
Program julung kali diadakan ini merupakan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia sebagai tanda keprihatinan pihak Kerajaan serta Pasukan dalam aspek kebajikan para pesara polis selain dapat meringankan beban yang ditanggung mereka sempena perayaan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Selain bertanya khabar dan menyantuni para pesara, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut menyampaikan sumbangan kebajikan berupa wang tunai serta Bakul Rahmah kepada para pesara polis.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman merangkap Setiausaha TAWP, SAC Zailanni Amit, Superintendan Kebajikan/Pendataan/Pembangunan (Pesara Polis), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Superintendan Abdul Halim Hanafiah serta para pegawai kanan PDRM.