
Artikel
Posting Pilihan Pga Serbu Kilang Proses Kayu Di Pantai Timur Nilai Rampasan Cecah Rm97 Juta
Kuantan, 27 Mei 2025 - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, melakukan 32 serbuan ke atas kilang pemprosesan kayu di Ke...
Kuantan, 27 Mei 2025 - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, melakukan 32 serbuan ke atas kilang pemprosesan kayu di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara 11 Februari hingga 20 Mei lalu, membabitkan rampasan bernilai RM97 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya melancarkan Op Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) siri satu dan dua, membabitkan serbuan ke atas 18 premis iaitu dua di Terengganu dan 16 di Kelantan.
"Operasi membawa kepada penangkapan 53 individu dan rampasan pelbagai jenis kayu dan barangan dianggar bernilai RM66 juta," katanya pada sidang media di PGA Briged Tenggara, Kem Bukit Galing di sini, hari ini.
Beliau berkata, Op Sawmill siri ketiga membabitkan 14 serbuan ke atas tujuh premis di Pahang manakala bakinya di Terengganu dan Kelantan.
"Sebanyak 45 tangkapan dilakukan dengan rampasan dianggar bernilai RM30 juta. Daripada jumlah itu, 18 individu adalah warganegara Malaysia dan dibebaskan dengan jaminan manakala 27 lagi membabitkan warga asing yang masih direman," katanya.
Sumber: Pasukan Gerakan Am - PGA dan Berita Harian