
Article
Posting Pilihan Kpn Iring Kdymm Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Dan Kdymm Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Lawat Esscom
Lahad Datu, 5 September 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang d...
Lahad Datu, 5 September 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat melawat ke Pejabat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Sabah, semalam.
Delegasi lawatan tersebut telah disambut oleh Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali.
Lawatan yang julung kali diadakan oleh Seri Paduka Baginda berdua ke ESSCOM bertujuan menyantuni pegawai, anggota serta staf ESSCOM dan beramah mesra dengan petugas-petugas keselamatan di sana.
Semasa lawatan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dimaklum sembah mengenai perkembangan situasi keselamatan semasa, pengoperasian pasukan keselamatan, perolehan kuarters dan program kemasyarakatan serta peningkatan sosioekonomi komuniti yang diterajui oleh ESSCOM di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Turut berangkat mengikuti program di ESSCOM ialah paduka anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Terdahulu Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi telah berangkat ke Kuarters Kediaman ESSCOM dan beramah mesra dengan warga ESSCOM termasuk menyantuni salah seorang petugas ESSCOM dan keluarga, Asisten Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob.
Seterusnya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta delegasi telah dipersembahkan dengan demonstrasi maritim, udara dan penerjunan bebas melibatkan gabungan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang beroperasi di ESSZONE melalui koordinasi oleh ESSCOM di Markas Pangkalan Polis Marin Lahad Datu Wilayah 4 Sabah. Usai program di ESSCOM, Seri Paduka Baginda berdua telah mengakhiri rangka lawatan dengan sesi ramah mesra bersama-sama rakyat di Dewan Perdana, Lahad Datu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Arthur Joseph Kurup, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali serta Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM dan Istana Negara.
Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN)