
Posting Pilihan Dua Anggota Polis Baik Hati Bantu Selamatkan Kucing Tercedera
Seorang pelayar Twitter yang menggunakan nama Sumaeya telah berkongsi kisah dua anggota polis membantu menyelamatkan seekor kucing yang dipercayai telah dilanggar oleh kenderaan, malam tadi.
Menurut Sumaeya, beliau yang baru pulang kerja pada lewat malam terserempak dengan seekor kucing yang berada di tengah jalan. Tanpa berfikir panjang, beliau terus mendekati haiwan tersebut sebelum mendapati ia mengalami kecederaan dan tidak mampu bergerak.
Dalam keadaan beliau buntu mendapatkan bantuan, secara kebetulan sebuah kereta peronda MPV melalui jalan berkenaan dan anggota polis bertugas segera memberhentikan kenderaan dan turun melihat keadaan kucing tersebut.
Tanpa membuang masa, seorang daripada anggota berkenaan segera membuat panggilan telefon dan lebih kurang sejam kemudian, seorang kenalan mereka hadir ke lokasi bagi membawa kucing tersebut untuk mendapatkan rawatan.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada Koperal Mohd Hafiz Basiron dan Koperal/S Rahimi Mufzan Ahmad Tarmizi dari Balai Polis USJ, Subang Jaya, Selangor atas bantuan dan keprihatinan mereka membantu menyelamatkan nyawa haiwan berkenaan. Moga kebaikan kalian diberi ganjaran yang setimpal olehNya.
PS: Kucing bernama Picu itu kini berada dalam keadaan baik selepas diberi rawatan di Klinik Veterinar Subang Jaya.
Sumber: Twitter @nssfeaa