Polis Tahan Lelaki Amat Dikehendaki Di Singapura
KUALA
LUMPUR, 13 Julai - Seorang lelaki yang amat dikehendaki di Singapura
kerana dipercayai terlibat dalam dua pembunuhan di republik itu
baru-baru ini, ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Baharu,
Johor, malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata suspek berusia 34 itu ditahan sepasukan polis di sebuah kawasan di Johor Baharu kira-kira 11 malam.
"PDRM akan menyerahkan suspek kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau
berkata warganegara Singapura itu dipercayai terlibat dalam dua
pembunuhan berprofil tinggi pada Rabu lepas sebelum berjaya meloloskan
diri ke negara ini melalui jalan darat.
Menurut
laporan SPF kepada PDRM, katanya suspek dipercayai masuk ke Malaysia
melalui pintu masuk Malaysia-Singapura di Woodlands dengan menaiki
sebuah motosikal pada Rabu malam.
Hadi
berkata SPF melalui unit khasnya yang memaklumkan kepada PDRM mengenai
butiran suspek telah membawa kepada penangkapan lelaki itu.
"PDRM
sentiasa membantu pasukan polis negara jiran yang memerlukan
pertolongan untuk memberkas suspek yang dikehendaki di negara mereka.
"PDRM
akan cuba mengesan dan menahan suspek berkenaan untuk diserahkan ke
negara asal mereka. Kita tidak mahu penjenayah antarabangsa menjadikan
Malaysia sebagai sarang persembunyian," katanya.
Semalam,
Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean meminta polis negara
itu mempergiat usaha dalam siasatan kes pembunuhan dua beranak di Kovan.
Menurut
satu kenyataan, Teo yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kes
pembunuhan itu adalah mengejutkan dan beliau bersimpati dengan keluarga
mangsa.
Mayat
Tan Boon Sin, 67, ditemui berhampiran Hillside Drive manakala mayat
anaknya, Tan Chee Heong, 42, di luar stesen MRT Kovan.
Sementara
itu di SINGAPURA, SPF dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih
kepada PDRM atas kerjasama dan bantuan diberikan dalam penahanan suspek
itu.
Sumber : BERNAMA