Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Memiliki Daun Ketum
Besut, 5 Ogos - Polis membanteras kegiatan penjualan air ketum di sini selepas menahan dua lelaki dalam 'Ops Tutup' ketika cuba membawa masuk daun ketum ke Terengganu di sini pagi ini.
Ketua
Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata suspek
masing-masing berusia 50 dan 39 tahun dipercayai dalam perjalanan dari
Kedah menuju Terengganu dan ditahan pada sekatan jalan di Kampung Lak Lok, Jerteh pukul 7.50 pagi ini.
"Polis
menemui dua bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun berwarna
kehijauan dipercayai ketum di bahagian tempat letak kaki tempat duduk
belakang kereta Proton Perdana itu," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Katanya but kereta suspek turut dipenuhi daun kehijauan dipercayai ketum.
Kamaruddin berkata kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan dan barang kes disimpan di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja.
Sumber : BERNAMA