Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis P Pinang Kenal Pasti Geng Curi Van Dan Lori

Diterbitkan: 05 Jul 2015 6.20 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
George Town, 5 Julai- Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa kumpulan dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri van dan lori di negeri ini sejak beberapa bulan lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-p-pinang-kenal-pasti-geng-curi-van-dan-lori
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:11 MYT

George Town, 5 Julai- Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa kumpulan dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri van dan lori di negeri ini sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Dato' Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya juga telah menubuhkan pasukan khas untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

"Jenayah curi van dan lori di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu 30 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, jadi saya telah arahkan untuk pasukan khas berkenaan mengambil tindakan segera.

"Berdasarkan siasatan polis juga, saya percaya dan yakin akan dapat menahan geng-geng berkenaan dalam usaha membendung kes curi lori dan van di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Komuniti dan Warga Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Katanya kes paling banyak dilaporkan berlaku di daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Bukit Mertajam, Bukit Tengah dan Bukit Minyak berbanding empat daerah lain di negeri ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, indeks jenayah di negeri ini menurun sebanyak 22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan penurunan ketara dicatatkan dalam kategori kekerasan jalanan.

"Sejak Januari hingga 1 Julai lepas, sebanyak 2,694 kes direkodkan berbanding tempoh sama pada tahun lepas iaitu sejumlah 3,454 kes. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 760 kes," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hanya 10 peratus daripada 6,200 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang dibenarkan bercuti sempena sambutan Aidilfitri pada 17 Julai depan.

"Manakala semua 500 pegawai dan anggota trafik di negeri ini dibekukan cuti bagi memastikan keadaan lalu lintas dan pergerakan kenderaan pengguna untuk pulang ke kampung halaman berjalan lancar. Mereka juga terlibat dalam Ops Sikap bermula 9 Julai ini," katanya.

Selain itu, katanya pihaknya juga telah mengatur beberapa strategi bagi memastikan ketenteraman awam di Pulau Pinang terjaga sepanjang sambutan Aidilfitri.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 05 Jul 2015 6.20 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM