Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Johor Selesai 11 Kes Pecah Bangunan Berikutan Penahana

Diterbitkan: 17 Jun 2014 6.56 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.45 PM
'Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki itu bertindak memecut laju serta enggan berhenti apabila diarah sebaliknya cuba menghimpit dan melanggar kereta peronda polis...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-johor-selesai-11-kes-pecah-bangunan-berikutan-penahana
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:26 MYT

Nusajaya, 5 Julai - Polis percaya berjaya menyelesaikan 11 kes pecah bangunan sekitar bandar raya ini selepas menahan dua lelaki di Taman Nusa Bestari dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintenden Noor Hashim Mohamed berkata suspek yang digelar kumpulan 'Spider' kerana berkebolehan memanjat bangunan melalui tiang tanpa peralatan sokongan itu ditahan pada kira-kira 6 pagi ketika memecah masuk sebuah bangunan tiga tingkat.

"Bertindak atas maklumat orang awam, polis ke tempat kejadian dan menemui kedua-dua mereka yang sedang bersembunyi di atas siling bangunan itu. Polis kemudian menemui peralatan pecah masuk bangunan dan sejumlah barangan curi termasuk beberapa kayu gaharu dan cendana bermutu tinggi di dalam beg mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya hari ini.

Beliau berkata suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta pecah rumah dan seorang daripada mereka juga didapati positif dadah.

Suspek dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak tiga bulan lepas dan mereka akan ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan, katanya.

Dalam kes berasingan, Noor Hashim berkata pihaknya menyelesaikan lima kes pecah rumah sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki berumur 30-an di Horizon Hills awal hari ini.

Beliau berkata polis menerima laporan pada 1.50 pagi berhubung kehadiran suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Indah 15/1, Taman Bukit Indah sebelum mengejar dan menahannya di kawasan Flat Bukit Indah, Horizon Hills.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki itu bertindak memecut laju serta enggan berhenti apabila diarah sebaliknya cuba menghimpit dan melanggar kereta peronda polis.

"Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya berjaya diberkas oleh anggota Unit Ronda Bermotosikal di depan Flat Bukit Indah itu, yang terletak lima kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Noor Hashim berkata pemeriksaan ke atas kereta itu menemui beberapa peralatan pecah masuk rumah, dan suspek yang didapati memiliki kad pengenalan palsu, ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 6.56 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.45 PM