Polis Johor Selesai 11 Kes Pecah Bangunan Berikutan Penahana
Nusajaya, 5 Julai - Polis percaya berjaya menyelesaikan 11 kes pecah bangunan sekitar bandar raya ini selepas menahan dua lelaki di Taman Nusa Bestari dua hari lepas.
Ketua
Polis Daerah Nusajaya Superintenden Noor Hashim Mohamed berkata suspek
yang digelar kumpulan 'Spider' kerana berkebolehan memanjat bangunan
melalui tiang tanpa peralatan sokongan itu ditahan pada kira-kira 6 pagi ketika memecah masuk sebuah bangunan tiga tingkat.
"Bertindak
atas maklumat orang awam, polis ke tempat kejadian dan menemui
kedua-dua mereka yang sedang bersembunyi di atas siling bangunan itu.
Polis kemudian menemui peralatan pecah masuk bangunan dan sejumlah
barangan curi termasuk beberapa kayu gaharu dan cendana bermutu tinggi
di dalam beg mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya hari ini.
Beliau
berkata suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta
pecah rumah dan seorang daripada mereka juga didapati positif dadah.
Suspek
dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak tiga bulan lepas dan
mereka akan ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan,
katanya.
Dalam
kes berasingan, Noor Hashim berkata pihaknya menyelesaikan lima kes
pecah rumah sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki
berumur 30-an di Horizon Hills awal hari ini.
Beliau
berkata polis menerima laporan pada 1.50 pagi berhubung kehadiran
suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Indah 15/1,
Taman Bukit Indah sebelum mengejar dan menahannya di kawasan Flat Bukit
Indah, Horizon Hills.
"Sebaik
menyedari kehadiran polis, lelaki itu bertindak memecut laju serta
enggan berhenti apabila diarah sebaliknya cuba menghimpit dan melanggar
kereta peronda polis.
"Bagaimanapun,
lelaki itu akhirnya berjaya diberkas oleh anggota Unit Ronda
Bermotosikal di depan Flat Bukit Indah itu, yang terletak lima kilometer
dari tempat kejadian," katanya.
Noor
Hashim berkata pemeriksaan ke atas kereta itu menemui beberapa
peralatan pecah masuk rumah, dan suspek yang didapati memiliki kad
pengenalan palsu, ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu
siasatan.
Sumber : BERNAMA