Polis Buru Empat Lelaki Pembuli Jalanan Penyamun
Kajang, 21 Oktober 2018 - Polis memburu empat lelaki yang dikenal pasti merupakan suspek kejadian samun dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kereta di lorong tambah nilai Tol Batu 11 dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzafir Mohd Yussof (gambar kecil) berkata, dalam kejadian sekitar pukul 10.55 malam itu, mangsa sedang memandu sebuah kereta pacuan empat roda bersama dua orang pekerja warga asing tiba di lorong tambah nilai plaza tol berkenaan apabila sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki empat individu secara tiba-tiba telah menukar lorong dari kanan ke kiri secara mengejut di hadapan mereka dan mengakibatkan perlanggaran di antara kedua buah kereta tersebut.
“Suspek yang berang dengan perlanggaran tersebut seterusnya keluar daripada kereta dan memarahi mangsa malah turut bertindak menarik mangsa keluar dari kereta dipandunya.
“Mangsa yang ketakutan telah memohon maaf namun tidak diendahkan oleh suspek dan turut ditampar beberapa kali di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzafir, suspek menyatakan ingin menyimpan kereta dipandu mangsa sebagai cagaran selepas permintaannya mendapatkan wang ganti rugi sebanyak RM1,000 tidak mampu ditunaikan oleh mangsa.
“Suspek juga turut mengugut akan menahan dan membunuh mangsa sekiranya permintaannya tidak dipenuhi sebelum merampas wang tunai bernilai RM400, barangan berharga serta sebuah telefon bimbit milik mangsa dan dua pekerjanya.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius melainkan sakit di bahagian muka akibat ditampar oleh suspek,”katanya.
Tambah Ahmad Dzaffir, mangsa sempat merakam nombor pendaftaran kereta Proton Persona tersebut dan pihak polis telah mengenalpasti suspek terlibat.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Sumber - K! ONLINE