Polis Berkas Dua Lelaki Cuba Larikan Peti Besi Premis Judi
Kuantan, 5 Ogos - Dua lelaki bukan sahaja gagal melarikan sebuah peti
besi seberat 100 kilogram malah diberkas polis selepas memecah masuk
sebuah premis judi di Jalan Haji Ahmad di sini, awal pagi ini.
Ketua
Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kedua-dua suspek
berusia 47 dan 31 tahun itu ditahan semasa cuba melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Viva di Jalan semambu di sini kira-kira jam 3 pagi.
"Polis
menerima maklumat berkenaan kejadian terbabit pada jam 2.18 pagi
sebelum memulakan gerakan memburu suspek. Hasil maklumat orang ramai
kereta suspek berjaya dikesan sebelum polis menahan mereka," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata, polis menemui sebuah peti besi itu di but kereta yang didewa
itu selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan
jenayah mereka seperti kuku kambing, pemotong besi dan tukul besi.
Katanya,
siasatan awal mendapati suspek yang berusia 31 tahun mempunyai enam
rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah, cubaan membunuh dan
dadah.
"Polis
juga percaya kedua-dua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu
berkemungkinan ada terlibat dengan jenayah lain. Suspek kini ditahan
reman sehingga 8 Ogos ini untuk siasatan," katanya.
Sementara
itu, pemilik premis berkenaan, Low Chee Ooh, 43, ketika ditemui
pemberita berkata dia menyedari premisnya dipecah masuk pada jam 9.15
pagi ini dan mendapati mangga kunci belakang kedai telah dipotong dan
peti besi seberat 100 kilogram yang mengandungi wang tunai dilarikan.
"Saya
bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih kira-kira jam
10 pagi tadi bagaimanapun terkejut selepas dimaklumkan suspek terbabit
telah diberkas polis.
"Mujur
wang tunai di dalam peti besi itu tidak banyak kerana saya telah simpan
di dalam bank semalam. Terima kasih kepada polis terlibat kerana
bertindak segera memberkas perompak itu," katanya.
Sumber : BERNAMA