
KERATAN AKHBAR PILIHAN: 2,000 PATI, TEKONG DICEKUP SEJAK 1 MEI
Kuala Lumpur, 14 Julai 2020 - Hampir 2,000 pendatang asing tanpa izin (PATI), tekong dan penyeludup berjaya ditahan sejak 1 Mei lalu, hasil keberkesanan Operasi Benteng yang membabitkan kerjasama empat agensi penguatkuasaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 1,494 PATI ditahan, selain 249 tekong serta 110 penyeludup antara 1 Mei hingga kelmarin.
"Turut ditahan adalah 50 bot dan 191 kenderaan yang terbabit dalam percubaan mencerobohi sempadan negara.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,255 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutamanya di lorong tikus.
"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Operasi Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Ia bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI, bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan COVID-19.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar Berita Harian seperti berikut.
Sumber: Berita Harian Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN