
Pjsjn Sertai Polis Antarabangsa Hadir Forum Kerjasama Perangi Dadah
Taipei, 4 September 2019 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (PJSJN), CP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd merupakan antara 147 peserta dari 32 buah negara yang menghadiri "International Forum On Police Cooperation: Combating Transnational Drug Crimes", bermula semalam hingga 6 September ini di ibu negara Republik Taiwan.
Perasmian forum tersebut telah disempurnakan pagi tadi oleh Presiden republik itu, Dr. Ing-Wen Tsai dengan diiringi Menteri Dalam Negeri Republik Taiwan, Dr. Kuo-Yung Hsu, selaku tuan rumah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi salah sebuah agensi keselamatan di dunia yang dipilih untuk berkongsikan maklumat mengenai kaedah memerangi jenayah dadah rentas sempadan.
Datuk Mohd Khalil selaku pengucaptama kedua dalam forum tersebut telah menyampaikan topik bertajuk "NCID Response To Methamphetamine Treat Through Strengthening International Cooperation".
Antara pemimpin Polis dari luar negara yang hadir ialah Ketua Polis Republik Taiwan, Director-General Ja-Chin Chen, President, International Association of Chief's Police, Amerika Syarikat, Mr. Paul Cell dan Commander Organized Crime, Australia, Mr. Peter Boder.
Turut hadir, Timbalan PJSJN (Risikan/Operasi), DCP Dato' Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, ACP Lukas Aket.
Komitmen PDRM dalam meletakkan agenda memerangi jenayah dadah sebagai salah satu keutamaan semakin membuahkan hasil apabila beberapa sindiket pengedaran terbesar dadah dalam negara, berjaya ditumpaskan tahun ini.


