Pga Rampas Mercun Bunga Api Bernilai Rm500 000 Di Bukit Kay
Bukit
Kayu Hitam, 6 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas mercun dan
bunga api bernilai kira-kira RM500,000 yang ditinggalkan dalam sebuah
lori di tepi jalan berhampiran Markas Taktikal pasukan itu semalam.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor Deputi Superintenden S.Sivanganam berkata 328 kotak mercun dan bunga api
pelbagai jenis ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas
pihaknya memeriksa kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan itu.
"Biasanya
selepas pukul 12 tengah malam, kenderaan tidak dibenar diletak di tepi
jalan kerana pintu pagar (sempadan) sudah ditutup," katanya kepada
pemberita di Balai Polis Bukit Kayu Hitam hari ini.
Beliau
berkata pihaknya kemudian melakukan intipan sehingga 7 pagi tadi bagi
melihat jika ada individu yang akan menghampiri kenderaan itu, namun
tiada sesiapa muncul.
Sivanganam
berkata rampasan itu adalah yang pertama dan terbesar pernah dicatat
PGA Batalion 3 setakat ini, dan beliau percaya ia diseludup dari negara
jiran sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1952, katanya.
Sumber : BERNAMA