
Pesanankhidmatmasyarakat Tangguh Sementara Percutian Ke Luar Negara
Dengan peningkatan lebih 80,000 kes jangkitan Coronavirus (#COVID-19) di seluruh dunia, rakyat Malaysia disaran agar menangguhkan dahulu perancangan untuk bercuti ke mana-mana negara buat sementara waktu.
Walaupun ditawarkan dengan tiket penerbangan atau penginapan yang murah oleh mana-mana agensi pelancongan, kita haruslah bijak menilai situasi terutama negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak tersebut seperti China, Korea Selatan, Itali dan Jepun.
Saranan tersebut adalah bagi mengurangkan pergerakan rentas sempadan yang secara tidak langsung mampu mencegah dan mengawal penularan COVID-19.
Meskipun Malaysia hanya mencatatkan sebanyak 22 kes jangkitan setakat ini, masyarakat tidak boleh mengambil ringan dan diminta untuk mengehadkan pergerakan serta kurangkan berada dalam khalayak ramai sekiranya tiada urusan penting.
Pastikan juga langkah-langkah pencegahan dilakukan seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), sentiasa memakai topeng muka ketika berada di tempat awam dan segera berjumpa doktor sekiranya jatuh sakit iaitu mengalami gejala jangkitan pernafasan seperti demam, batuk atau sukar bernafas.
Sumber gambar: Google