
Artikel
Perutusan Ketua Polis Negara Sempena Hari Raya Eid L Adha Tahun 2022 Masihi 1443 Hijrah
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dan limpah kurnia-Nya yang tidak terhitung, seluruh umat Islam, khususnya rakyat di negara ini dapat merasai kembali kemer...
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dan limpah kurnia-Nya yang tidak terhitung, seluruh umat Islam, khususnya rakyat di negara ini dapat merasai kembali kemeriahan sambutan Eid’l Adha atau Hari Raya Korban pada tahun ini.
Kehadiran Eid’l Adha juga mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan suruhan Allah SWT, ketabahan Siti Hajar mengetepikan perasaannya sebagai ibu serta keredaan Nabi Ismail a.s sebagai seorang anak menempuh ujian demi memenuhi perintah Ilahi.
Peristiwa tersebut membawa mesej yang jelas kepada umat Islam bahawa walau seberat mana sekalipun ujian dan liku kehidupan dihadapi serta pengorbanan yang perlu dilakukan, seseorang insan yang kukuh imannya, akan mentafsirkan setiap perkara yang berlaku, mempunyai hikmah disebaliknya.
Begitu jualah ujian pandemik COVID-19 sepanjang tempoh dua (2) tahun yang lalu. Ancaman krisis kesihatan luar jangka tersebut telah mengubah hampir keseluruhan normal kehidupan manusia sejagat. Namun, kebijaksanaan pihak Kerajaan mengatur strategi, kesanggupan petugas barisan hadapan merisikokan diri dan kepatuhan rakyat Malaysia terhadap segala Prosedur Operasi Standard (SOP), adalah bukti perjuangan dan pengorbanan terhebat Keluarga Malaysia sehingga membolehkan kita kembali menikmati kehidupan seharian dalam norma baharu pada hari ini.
Konsep berkorban yang luas intipatinya, juga berkait rapat dengan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah diamanahkan untuk menjaga keamanan serta keselamatan negara ini. Kesanggupan kita mengetepikan kepentingan diri demi mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara, adalah satu bentuk pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan pada jalan jihad ini diterima dan diberikan ganjaran di akhirat kelak, Insya-Allah.
Di kesempatan ini, saya dan isteri serta seisi keluarga dengan seikhlas hati mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eid’l Adha 1443 Hijrah, kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia, amnya. Marilah kita hiasi Eid’l Adha ini dengan memperbanyakkan takbir dan bertahmid, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.
(TAN SRI ACRYL SANI BIN HJ. ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia