Pertandingan Menembak Persahabatan Kukuh Hubungan Kerjasama Pdrm Jkdm
Kuala Lumpur, 3 November 2018 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengadakan Pertandingan Menembak Persahabatan dalam memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dua agensi yang berlangsung di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, di sini pagi tadi.
Seramai 40 peserta telah mengambil bahagian dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu menerusi acara VIP dan 'falling plate' serta 'centre fire'. JKDM yang berjaya meraih gelaran juara keseluruhan dalam pertandingan tadi telah membawa pulang piala pusingan dan hadiah iringan.
Pertandingan ini bertujuan mengeratkan lagi jalinan kerjasama di antara PDRM dan JKDM selain menggalakkan penglibatan aktif warga kedua-dua agensi dalam pelbagai acara sukan khususnya sukan menembak. Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi tadi turut diserikan lagi dengan penyertaan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Subromaniam Tholasy.
Tan Sri Mohamad Fuzi dalam ucapannya tadi berkata, selain menguji tahap kemahiran para peserta, pertandingan persahabatan ini juga dilihat dapat meningkatkan kemampuan mereka dalam mengendalikan senjata api semasa berhadapan dengan cabaran tugas harian.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yahya, barisan Pengarah PDRM dan JKDM serta pegawai kanan PDRM dan JKDM.