
Article
Persidangan Pjp Kp Komander Komandan Platform Strategik Perkukuh Dasar Perhalusi Gerak Kerja Ke Arah Pacu Prestasi Pasukan
Kuala Lumpur, 4 Jun 2025 – Persidangan Pesuruhjaya Polis (PJP)/Ketua Polis (KP)/Komander dan Komandan bilangan 1 tahun 2025 telah diadakan di Dewan Ketua Polis...
Kuala Lumpur, 4 Jun 2025 – Persidangan Pesuruhjaya Polis (PJP)/Ketua Polis (KP)/Komander dan Komandan bilangan 1 tahun 2025 telah diadakan di Dewan Ketua Polis Negara (KPN), Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur pagi tadi, di sini.
Ia telah dipengerusikan oleh KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain yang dihadiri oleh seluruh pucuk pimpinan peringkat jabatan, negeri, formasi dan institusi latihan dalam Pasukan.
Antara perkara yang menjadi fokus dalam amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Razarudin menyentuh berkaitan tahap kesediaan dan keselamatan aset serta fasiliti, dengan mengambil iktibar kejadian nahas jalan raya melibatkan anggota Unit Lima 5, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Sungai Senam pada 13 Mei lalu.
Selain itu, beliau turut menekankan aspek pengukuhan sinergi kolaborasi ‘inter-agency’, pengamal media dan masyarakat yang merupakan medium pengukuhan ke arah kerjasama menerusi perkongsian matlamat dan harapan yang lebih jelas antara kedua-dua entiti.
Dalam pada itu, Tan Sri Razarudin menyeru kepada semua yang hadir supaya memberi penekanan berhubung pematuhan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dalam penugasan dan berharap ia disampaikan kepada segenap lapisan warga Pasukan di seluruh negara.
Dalam amanatnya juga, Tan Sri Razarudin menzahirkan ucapan penghargaan atas kecemerlangan penugasan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran bertaraf antarabangsa, seperti Pameran Maritim Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) dan 46th ASEAN Summit yang berlangsung pada Mei lalu.
Agenda persidangan tersebut diteruskan lagi dengan dua sesi pembentangan iaitu berhubung pengukuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Muhammed Hasbullah Ali serta keberkesanan dan pengukuhan pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah oleh Timbalan Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim.
Dalam majlis yang sama, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati menyempurnakan Majlis Peluncuran Aplikasi Aduan JIPS PDRM dengan diiringi oleh Pengarah JIPS, CP Dato’ Sri Azri Ahmad.
Aplikasi tersebut merupakan platform digital yang dikendalikan sepenuhnya oleh cawangan Pengurusan Aduan JIPS Bukit Aman, bertujuan memudahkan masyarakat dalam menyalurkan aduan serta maklumat sekali gus mengelak daripada berlakunya penyebaran info ke saluran yang tidak sah.
Hadir sama dalam persidangan tersebut, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah bersama barisan Ketua Urus Setia KPN.
Terdahulu, KPN telah berbesar hati menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia kali ke-53 bagi tahun 2025, yang turut dihadiri oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Bryan lie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri




